Siasatan terhadap insiden jurulatih tampar pemain turut libat KPM – Hannah

0
2

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan siasatan berkenaan kejadian jurulatih menampar pemain akan turut melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, siasatan terhadap insiden tersebut dilakukan lebih mendalam kerana melibatkan dua kementerian dan beliau masih menunggu perkembangan kes.

“Siasatan masih dijalankan oleh Majlis Sukan Negara bersama Kementerian Pendidikan. Siasatan itu bukan mengenai tindakan menampar pemain itu berlaku atau tidak. Kita semua sudah lihat video,

“Siasatan itu lebih mendalam dan melibatkan semua pihak dalam pasukan. MSN akan memberi perkembangan semasa kepada saya apabila siasatan selesai dan akan dimaklumkan kepada umum. Pihak KBS dan KPM terlibat dalam siasatan ini,” katanya dalam  satu sidang media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tular insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar di Johor baru-baru ini.

Bagaimanapun, bapa kepada salah seorang pelajar perempuan yang ditampar jurulatih tersebut telah memaafkan perbuatan lelaki itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Isnin lalu, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam turut menyatakan jurulatih berkenaan juga sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf.

Ujarnya, insiden itu berlaku apabila jurulatih tersebut sedikit emosi apabila melihat prestasi pemainnya tidak mencapai tahap diinginkan pada hari pertandingan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here