SERAMAI 45 individu daripada pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sudah dikenalpasti termasuk pemimpinnya di Johor, Sallahuddin Mashkuri yang dipantau berterusan oleh polis, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menggempur lokasi yang dikesan sebagai pusat penyebaran HTM di Skudai dalam tempoh terdekat.
Katanya, penelitian polis mendapati ada kenyataan di laman web pertubuhan itu memetik ‘Ketua Polis Johor’ namun tidak ditandatangani mana-mana pihak dan hanya tertera Pejabat Media Hizbut Tahrir Malaysia.
“Kalau mereka ada keberanian, sila tandatangan. Presiden atau nama jurucakap. Kenyataan dikeluarkan polis adalah berasaskan fatwa dikeluarkan oleh JAINJ.
“Isu fitnah atau tidak fitnah tidak timbul. Fatwa ini sudah pun keluar atas perintah dan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
“Sebagai umat Islam di Johor, wajib patuhi fatwa kerajaan negeri. Ini bukan benda yang boleh dimain-main, tidak ada fitnah.
“Kalau baca betul-betul fatwa JAINJ, jelas menyatakan penyelewengan Hizbut Tahrir. Bukan sahaja di Johor tetapi juga di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Pulau Pinang, maka adakah itu dikatakan fitnah,” katanya seperti dilapor BH.
Semalam, terdapat kenyataan dimuat naik di laman web HTM mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi dan Ketua Polis Johor memfitnah fahaman pertubuhan itu bercanggah dengan agama Islam.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, Hizbut Tahrir turut dianggap sebagai kumpulan sesat oleh negara Islam lain di peringkat antarabangsa dan boleh mengancam keselamatan.
Beliau menegaskan, polis tidak akan berlembut terhadap individu atau pertubuhan yang melanggar undang-undang.
“Tindakan kumpulan macam inilah yang merugikan umat Islam. Apabila mereka kata umat Islam tidak perlu terbabit dalam pilihan raya, siapa yang hendak mengundi sistem demokrasi untuk menentukan siapa perintah negara? Khalifah mereka ke?
“Malaysia ada sistem dan kaedah, tanya mereka (HTM) macam mana kaedah yang dimahukan untuk membentuk negara.
“Kalau tolak sistem demokrasi dan sistem beraja, kita nak melalui apa? Secara tidak langsung, perang dan memang ada pun risalah (HTM) dikeluarkan.
“Fahaman ini ada ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh, cuma mereka ini belum angkat senjata lagi, jadi kita jangan biarkan mereka berkembang,” katanya. – Malaysiapost

