BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
“Produk berkenaan adalah Flashhskinzz Night Cream, yang mengandungi hydroquinone.

“Dan Rissa Skin Moisturiser, yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Menurutnya, susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Hydroquinone boleh menyebabkan masalah pada kulit yang disapu dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
“Betamethasone 17-Valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem darah,” katanya.
Dr Noor Hisham turut mengingatkan penjual dan pengedar produk-produk kosmetik itu agar perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – Malaysiapost

