PASANGAN suami isteri yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah Khamis lalu yang menyebabkan seorang tukang masak maut, direman tujuh hari.
Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun ditahan di Serdang, Kedah, malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Menurut Berita Harian, mereka kemudian terus dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kedua-dua suspek terbabit direman bermula hari ini sehingga 10 Januari ini.
Punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.
Dalam kejadian jam 8.50 malam, pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak sebuah restoran di Pandan Indah, maut selepas membuka sebuah bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.
Bungkusan berkenaan kemudian meletup secara tiba-tiba sebelum mangsa mengalami kecederaan serius pada badan dan tangannya.
Mangsa maut pada jam 9.50 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Terdahulu, sumber berkata polis memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan itu di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi.
Setakat ini, daripada siasatan polis di tempat kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis percaya suspek kejadian letupan itu menggunakan bom buatan sendiri.
Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom.
Antara bahan yang ditemui adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri. – Malaysiapost

