TFC telah jelaskan baki gaji saya – Faisal

0
3

TERENGGANU FC (TFC) selesai melunaskan baki gaji bekas pemainnya, Faisal Halim yang sebelum ini menjadi perdebatan hangat di media sosial.

Penyerang kebangsaan yang sedang membawa cabaran Harimau Malaya di Piala AFF 2022 itu mengesahkan kemelut dengan bekas majikannya telah diselesaikan secara baik sekali gus menerima baki gaji bulan terakhir baru-baru ini.

Faisal yang akan beraksi bersama Selangor FC turut memohon maaf atas semua kekhilafan dan salah faham sebelum ini.

“Saya memohon maaf atas semua kekhilafan dan salah faham antara saya dan pihak Terengganu FC serta penyokong selama saya berada di bumi Terengganu Darul Iman.

“Setiap kebaikan datang dari Allah SWT dan kekhilafan datang dari saya sendiri. TFC telah jelas baki gaji saya,” ciapnya di laman Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Faisal atau lebih mesra dikenali sebagai Miki membangkitkan mengenai tunggakan gaji di media sosial dengan beberapa hantaran hangat yang menarik perhatian netizen.

Ia tercetus apabila Faisal membuat ciapan di laman Twitter miliknya pada Jumaat lalu dengan menggunakan tanda pagar ‘Pulangkan Hak Saya’.

“Kita diam orang ingat kita tiada masalah. Bila kita bunyi orang kata kita tak pro, pulangkan hak saya. Mana boleh ambil hak orang tanpa beri tahu apa-apa. Ikut akta mana ya, jangan kita diam kita tak kisah. Dalam kontrak pun tiada benda itu, guna kuasa mana ya, #pulangkanhaksaya,” ciapnya.

Faisal yang berusia 24 tahun itu merupakan antara tonggak utama skuad Penyu dan turut berjaya membantu TF mara ke pentas Piala AFC musim 2023. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here