PENERBIT drama dan penulis novel terkenal, Siti Rosmizah Semail yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan selepas dijangkiti Covid-19, dilaporkan kritikal.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan menerusi Instagramnya malam semalam.
“Minta semua kawan-kawan atau sahabat yang mengenali Kak Siti @ Siti Rosmizah marilah kita sama-sama mendoakan untuk beliau pulih semula daripada penyakit Covid-19. Beliau sekarang di ICU dan keadaannya kritikal.
“Berita sedih yang kami terima, Covid-19 Kak Siti sudah naik ke tahap empat. Sama-sama doakan beliau diberi kekuatan untuk berjuang melawan penyakit ini,” tulis pengendali di akaunnya.
Ahad lalu, penulis drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku itu dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan Covid-19.
Antara novel popular lain karya Siti Rosmizah termasuklah Andai Itu Takdirnya, Rindu Awak Separuh Nyawa dan Curi-Curi Cinta.
Beliau juga terlibat pertama kali dalam penulisan lirik untuk lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza. – Malaysiapost

