ORANG awam diingatkan agar tidak memberi alasan remah ketika membuat permohonan rentas negeri, sebaliknya hanya dilakukan jika ada keperluan mendesak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam tempoh empat hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebanyak 1,587 permohonan rentas negeri diterima dan daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan, manakala bakinya ditolak.
“Kebanyakan permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.
“Permohonan yang ditolak kerana alasan remeh seperti ingin bercuti atau melancong di negeri lain, menghadiri kenduri kahwin, selain menggunakan mahu menghantar anak pulang ke kampung tanpa tujuan atau bukan kecemasan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas operasi khas pematuhan PKPB di Selayang Baru dan Sri Gombak, dengan tujuh individu dikompaun serta dua warga asing ditahan, tengah malam tadi.
Menurut Arifai, bagaimanapun.pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rentas negeri membabitkan ahli keluarga yang sakit tenat dan alasan lain dianggap munasabah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan sebelum ini berkata, borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan PKPB boleh diperoleh di balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia.
Borang yang lengkap perlu diserah kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicop bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya. – Malaysiapost

