Lantik Dr Mahathir PM sementara sehingga PRU15 – Pejuang

0
2

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) mahu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Jawatankuasa Penaja parti tersebut, antara lain bagi meredakan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Salah seorang ahli jawatankuasa itu, Datuk Abu Bakar Yahya berkata pelantikan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu adalah untuk tempoh sementara sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami ahli jawatankuasa penaja parti Pejuang telah pun memutuskan dengan sebulat suara bahawa Tun M sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Perdana Menteri yang ada sementara menunggu PRU15 jika negara mahu diselamatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Kecelaruan politik negara berlaku selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan kukuh untuk menjadi Perdana Menteri daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Malah, Anwar mendakwa dengan sokongan diterimanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

Anwar juga didakwa mendapat sokongan daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah didakwa turut mendapat sokongan sebilangan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost