Nurul Huda Abhar
POLIS telah memulakan siasatan berhubung satu kenyataan hasutan membabitkan seorang lelaki menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, video berdurasi satu minit 33 saat itu mempunyai kecenderungan menghasut (untuk menanam kebencian) terhadap raja dan kerajaan.
“Kami mengenal pasti lelaki itu sebagai Ganesparan Nadaraja berusia 38 tahun yang beralamat terakhir di P-1-5 RH Pangsa Flat MPS Jalan Tan Sri Manickavasagam, Seremban, Negeri Sembilan.
“Siasatan mendapati lelaki itu kini berada di luar negara sejak November 2017, malah suspek turut dikehendaki untuk tiga kes lain berkaitan ugutan dan hasutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Huzir, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.
“Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Suspek juga dikehendaki untuk tiga kes lain. Polis percaya suspek yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan kini berada di luar negara. Semakan pergerakan keluar masuk Malaysia mendapati suspek telah ke luar negara sejak November 2017.
“Kami akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.
Menerusi rakaman video yang tular, individu lelaki itu dengan lantang menghasut supaya dihapuskan Institusi diraja di Malaysia.
Rakaman tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai dan meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang kepada individu terbabit. – Malaysiapost

