KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama supaya segera mendapatkan dos penggalak kedua dan tidak menunggu vaksin Covid-19 jenis bivalen.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mereka yang sudah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan digesa agar mendapatkan dos penggalak kedua.
“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian akibat wabak berkenaan.
“KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia telah mendapat dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang mengambil dos penggalak kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, meningkatkan pengambilan vaksin adalah sebahagian langkah KKM untuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19.
Dr Zaliha berkata, merujuk maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus Covid-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.
“Selain itu, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Ubatan baru-baru ini.
“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.
“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.
“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China, bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.
“KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata, KKM juga sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara China serta rakan-rakan negara ASEAN lain mengenai situasi dan pengurusan Covid-19 semasa. – Malaysiapost

