Duit KWSP lesap ditipu ‘pegawai polis’

0
1

Ben Ibrahim

SEORANG jurujual terpaksa melupakan impian memiliki kereta baharu selepas wang simpanannya kira-kira RM100,000 ‘ghaib’ susulan menjadi mangsa penipuan.

Mangsa, Ng Yaw Jin, 58, mendakwa dia mula menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa ‘pegawai polis’ pada 24 Disember lalu berkaitan kegiatan pengedaran dadah.

“Pada awalnya ‘pegawai polis’ itu cakap saya ada terbabit dalam aktiviti dadah dan dia minta nombor akaun bank untuk melakukan semakan.

“Kemudian suspek hantar satu gambar (melalui aplikasi) WhatsApp, gambar surat yang mengatakan saya ada kaitan dengan kegiatan ‘wang kotor’.

“Selepas itu suspek minta kata nama dan kata laluan bank untuk siasatan lanjut, saya tidak syak apa-apa ketika ini dan memberikan semuanya kepada suspek,” katanya dalam sidang media di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, dekat Kuantan, hari ini.

Yaw Jin berkata, dia hanya menyedari kehilangan wang itu pada malam 29 Disember selepas menghubungi talian khidmat pelanggan bank dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.

“Sebelah petang saya ada pergi bank di sini (Kuantan) untuk buat semakan dan petugas di kaunter cakap duit saya sudah dikeluarkan melalui perkhidmatan dalam talian.

“Duit itu adalah wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang saya mahu gunakan untuk beli kereta baharu, semuanya berjumlah RM99,900 dan hilang sekelip mata saja,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan berkata, kejadian penipuan melalui panggilan telefon ini sering berlaku disebabkan masih ramai yang belum sedar mengenai cara sindiket penipuan beroperasi.

“Jadi saya nasihatkan kepada orang ramai, jika ada terima panggilan mencurigakan, semak terlebih dahulu dengan balai polis berhampiran.

“Ini sangat penting bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa sindiket terbabit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here