JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) akan mengadakan mesyuarat khas dengan beberapa agensi berkaitan susulan isu pelancong warga asing berbikini di Pulau Besar, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata mereka akan membincangkan tindakan yang boleh diambil terhadap pelancong asing yang mencemarkan imej dan kesucian pulau terbabit.
“Kita akan bermesyuarat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) serta agensi lain berkaitan.
“Ini adalah yang pertama dan terakhir, jangan ulangi lagi (memakai pakaian mencolok mata). Kami tidak akan berkompromi lagi selepas ini.
“Pakaian sedemikian (berbikini) hanya sesuai di bilik dan bukan ditunjukkan kepada masyarakat di Pulau Besar… jangan memandang enteng,” katanya dipetik Harian Metro.
Beliau mengulas video tular sekumpulan pelancong warga asing berkelah sambil bermandi-manda di Pulau Besar dengan hanya mengenakan bikini tanpa mempedulikan pengunjung di situ pada 25 Disember lalu.
Menurut Che Sukri, JAIM tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelancong itu kerana Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk orang Islam.
Sehubungan itu katanya, JAIM akan mengambil langkah proaktif seperti mencadangkan MBMB untuk memasang lebih banyak papan tanda mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti bertentangan ajaran Islam di pulau terbabit.
“Mungkin ada pelancong tidak tahu sejarah Islam di Pulau Besar, jadi kita juga berharap Rakan Setia Bersama JAIM, pengusaha bot dan penginapan di sini sama-sama membantu pihak berkuasa.
“Misalnya mereka boleh menasihati pelancong agar menjaga tingkah laku, cara berpakaian serta tidak melakukan aktiviti menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk membawa arak,” katanya. – Malaysiapost

