Penonton dekati tepi trek ketika ‘lap’ akhir

0
2

ASPEK keselamatan telah dipastikan pada pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah namun penonton secara tiba-tiba menghampiri kawasa tepi trek litar perlumbaan ketika ‘lap’ terakhir.

Penganjur pertandingan, Yana Autopart mendakwa pihaknya pada awal perlumbaan itu sudah memastikan tiada penonton berada di kawasan berumput di mana nahas terbabit berlaku.

Malah Penyelaras acara berkenaan, Yano Al-Mahadzir menjelaskan, pihaknya telah menempatkan 10 ‘marshall’ di enam seksyen ketika pertandingan itu berlangsung.

Menurutnya, kesemua ‘marshall’ bertugas sudah diberikan taklimat sebelum pertandingan lumba kereta itu bermula.

“Pada awal perlumbaan, pihak kami sudah memastikan tiada penonton berada di kawasan itu (kawasan berumput di mana mangsa yang maut dan beberapa lagi penonton dilihat berdiri berdasarkan paparan dalam rakaman video tular).

“Namun pada ‘lap’ terakhir, mereka berlari dari kawasan tengah litar dan menghampiri kawasan berdekatan trek itu,” katanya dipetik BH, hari ini.

Yano menjelaskan, insiden semalam adalah kali pertama berlaku kemalangan jiwa sepanjang tempoh hampir 10 tahun syarikatnya menguruskan pertandingan lumba kereta di Litar Dato’ Sagor.

“Dalam tempoh dua atau tiga tahun sekali, kami akan mengadakan pertandingan di litar itu.

“Saya sendiri ada menyewa ambulans dari Teluk Intan setiap kali pertandingan. Malah, saya berurusan sendiri dengan doktor yang juga pemilik ambulans itu.

“Ini adalah kali pertama kami menghadapi insiden sebegini. Sebaik saja mangsa dilanggar, doktor segera membuat pemeriksaan dan melakukan CPR (bantuan kecemasan menyelamatkan nyawa), sebelum mengejarkannya ke hospital,” katanya.

Seorang pengusaha bengkel kenderaan maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.30 petang semalam.

Mangsa, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dari Taiping, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata terdahulu dua kereta lumba dipercayai hilang kawalan selepas bergesel ketika menghampiri garisan penamat, sebelum sebuah kenderaan berkenaan terbabas ke kanan laluan litar lalu memasuki kawasan berumput yang mempunyai beberapa penonton ketika itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here