
SEMUA operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa semalam.
Ia berikutan keputusan Kerajaan Kedah untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari 2023.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan yang diputuskan sejak November 2021 lalu.
“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah, bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada yang masih beroperasi.
“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, Muhammad Sanusi mengumumkan negeri itu tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak.
Beliau dilapor berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri berkenaan selain bagi mencapai sasaran sifar judi.
Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa tindakan kerajaan negeri itu melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia. – Malaysiapost
