TANAH perkuburan setinggi 14 tingkat di Santos, Brazil bakal menjadi tempat persemadian legenda bola sepak dunia Pele, Selasa ini.
Lapor Daily Mail, mayat pemenang pingat kejuaraan Piala Dunia tiga kali yang meninggal dunia kelmarin, akan dibawa dari Hospital Albert Einstein di Sao Paolo ke Stadium Vila Belmiro di mana orang ramai akan dapat memberi penghormatan terakhir mereka.
Mayat Pele akan kekal di bulatan tengah di stadium itu selama 24 jam sebelum dibawa melalui jalan-jalan di bandar kelahirannya dan berhenti sebentar di luar rumah ibunya, Celeste, berusia 100 tahun yang kini terlantar di katil.
Pele kemudiannya akan dibawa untuk disemadikan di Memorial Necrópole Ecumênica yang merupakan tapak perkuburan tertinggi di dunia.
Tanah perkuburan menegak itu dibina pada tahun 1983 dan mempunyai lebih daripada 14,000 bilik kebal, taman tropika, restoran serta muzium kereta klasik.
Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, meninggal dunia pada usia 82 tahun selepas perjuangan yang panjang menentang kanser.
Pengebumiannya terpaksa ditangguhkan untuk memberi lalu kepada majlis perlantikan Presiden baharu Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada pagi Isnin.
Dalam pada itu, ramai rakyat Brazil berkabung meratapi pemergian lagenda bola sepak itu dan menyalakan lampu di semua monumen bagi mengenang pemergiannya. – Malaysiapost

