Biro politik buat keputusan kehadiran ke PAU – Rafizi

0
2

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli memaklumkan belum mendapat jemputan daripada Umno untuk menghadiri Perhimpunan Agung (PAU) parti itu yang akan diadakan bulan depan.

Beliau berkata, jika PKR menerima surat jemputan ia akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.

“Kalau dapat jemputan prosesnya akan dibawa ke biro politik. Biro politik akan buat keputusan. Jadi saya tunggu kalau perkara (surat jemputan) itu telah dihantar secara rasmi,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah PKR menerima jemputan untuk menghadiri PAU.

Bagaimanapun, Rafizi meminta pihak media bertanya kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana surat-menyurat dialamatkan kepadanya.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan tentang dirinya tidak kompeten, sebagai tidak memberi kesan padanya.

Beliau yang juga Menteri ekonomi itu berkata, rakyat boleh menilai sikap Wan Saiful yang membuat kenyataan seperti itu.

“Dari segi bagaimana prestasi saya akan dihakimi oleh rakyat, itu juga adalah jelas. Saya tidak berniat atau mempunyai rancangan untuk membuat komen politik kepada orang politik yang membuat komen seperti Wan Saiful.

“Berbanding contohnya kalau komen daripada penduduk di Pandan dengan komen daripada Wan Saiful, saya lebih beri perhatian kepada komen penduduk di Pandan,” katanya.

Wan Saiful sebelum ini mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan Rafizi jika Ahli Parlimen Pandan itu terus tidak kompeten dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Ekonomi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here