PAS mencadangkan agar kemasukan pelancong dari China ditangguhkan buat sementara waktu berikutan peningkatan penularan wabak Covid-19 di negara itu.
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tidak melaksanakan langkah mencegah kemasukan pelancong berisiko membawa Covid-19, ke negara ini.
“PAS menyarankan agar kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di negara Republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairil Nizam berkata, bagi pelancong yang telah berada di negara, mereka perlu dikenalpasti dan diperiksa mengenai status Covid-19.
Sementara itu, katanya, rakyat juga dinasihatkan untuk kekal menjaga Prosedur Operas Standard (SOP) dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak.
Dalam pada itu, beliau menerusi hantaran di Facebook berkata jangkaan kira-kira 300,000 pelancong dari China akan memasuki negara ini pada tahun 2023, adalah membimbangkan.
“Kerajaan perlu ambil tindakan tegas bagi menyekat kemasukan pelancong China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.
“Ambil Iktibar dari kesilapan Pakatan Harapan pada dua tahun lalu, jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” katanya. – Malaysiapost

