Arjunaidi bersara wajib

0
2

KETUA Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed yang telah berkhidmat selama hampir 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersara wajib bermula 2 Januari ini.

Susulan itu, beliau telah menyerahkan tugas kepada Timbalannya Datuk S Sasikala Devi dalam satu majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Majlis berkenaan disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Sri Hazani Ghazali.

“Arjunaidi dilantik sebagai Ketua Polis Selangor pada 15 Mac 2021 dan akan menjalani persaraan wajib pada 2 Januari 2023 setelah menabur bakti selama 35 tahun, lapan bulan dan 26 hari dalam pasukan PDRM.

“Jawatan Ketua Polis Selangor kini akan disandang oleh Timbalan Ketua Polis Selangor sehingga Ketua Polis yang baharu melapor diri,” menurut Polis Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Dalam majlis sama, turut diadakan serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor antara Datin Baidzura Su @ Busu dengan Sasikala Devi disaksikan Pengerusi PERKEP JKDNKA Datin Sri Fadziah Abdul Hamid.

“Sasikala Devi akan menyandang jawatan Pengerusi PERKEP Selangor sehinggalah Pengerusi PERKEP Selangor yang baharu melapor diri nanti,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu turut diadakan perbarisan sempena persaraan Arjunaidi yang dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan.

Arjunaidi turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Selangor kepada seramai 22 orang yang terdiri daripada seramai lima warga PERKEP Selangor dan 17 orang awam.

Perbarisan sempena persaraan Ketua Polis Selangor ini juga turut diiringi dengan persembahan daripada Pancaragam Polis Diraja Malaysia serta bacaan sajak bertajuk “Sebutir Permata”. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here