BERDIAM diri adalah pendekatan yang lebih baik daripada mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang
memihak kepadanya, hari ini.
Itulah pendekatan yang diambil balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali yang enggan mengulas keputusan mahkamah yang memerintahkan adik iparnya, Ali Puteh membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kerana memfitnah dalam laman sosial Instagram (IG), dua tahun lalu.
Jelasnya, dia lebih gemar mengambil sikap mendiamkan diri bagi tidak mengeruhkan keadaan yang boleh memanjangkan kemelut antaranya dengan keluarga arwah suami.
“Saya tidak mahu ulas, rasanya berdiam diri jalan terbaik agar tidak mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dipetik BH, hari ini.
Ibu kepada cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 3, itu juga tidak menganggap keputusan mahkamah sebagai perkara yang harus dibanggakan.
“Tidak… saya langsung tidak merasakan sudah menang,” jawabnya ringkas.
Dalam prosiding yang berjalan secara Zoom, pagi tadi, rayuan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, untuk mengetepikan keputusan mahkamah yang memerintahkannya membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada kakak iparnya itu ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Mahkamah turut menolak rayuan Ali dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sama yang menolak tuntutan samannya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah, berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun YouTube usahawan kosmetik itu.
Perbalahan antara Siti Nor Hidayah dan keluarga Ali tercetus selepas pemergian Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Ali berhubung kenyataan dibuat pelawak itu menerusi akaun IG.
Antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat dan tamak harta pusaka suaminya.
Ali dan tiga ahli keluarganya juga memfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat menjatuhkan maruah dan mengaibkan dengan menerbitkan serta memuat naik video temubual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu. -Malaysiapost

