Import telur ayam bukan jalan atasi kekurangan bekalan – Rosol

0
1

MENGIMPORT telur ayam bukan jalan penyelesaian jangka masa panjang yang efisien bagi mengatasi masalah kekurangan telur ayam di pasaran. 

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan kerajaan itu hanya akan membebankan pengguna kerana harga telur ayam import lebih mahal berbanding telur ayam tempatan. 

“Cadangan untuk import telur ayam ini pernah dilontarkan dulu. Namun, apabila dikaji pelbagai aspek dan implikasi termasuk dari segi harga ia tidak dilaksanakan kerajaan terdahulu kerana kurang praktikal. 

“Idea import telur bukan solusinya. Langkah ini tidak akan  dapat atasi masalah kekurangan telur bagi jangka masa panjang sebaliknya hanya akan bebankan pengguna. 

“Sekiranya kerajaan hari ini punyai idea lebih baik dalam usaha atasi masalah kekurangan telur di pasaran, kita alu-alukan demi untuk kepentingan pengguna,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata demikian kepada media selepas Misi Bantuan Banjir Negeri Terengganu Skuad Prihatin Bersatu di Madrasatul Quran Sahabat di Kampung Bukit Biah, di Hulu Terengganu, hari ini. 

Rosol menjelaskan, kawalan harga telur ayam terlalu lama dilaksanakan hingga menjadi punca pengeluaran bahan mentah itu terjejas antara alasan diberikan pemain industri sebelum ini. 

Katanya,  Malaysia merupakan negara eksport telur bukannya import dan kerajaan perlu meneliti pengeluaran dan permintaan tempatan bagi memastikan telur sentiasa mencukupi di pasaran. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here