Kes demam denggi meningkat 3.5% minggu lepas

0
2
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

JUMLAH kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 tahun ini (ME51/22) dari 18 hingga 24 Disember lalu meningkat 3.5 peratus iaitu 2,018 kes berbanding 1,950 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada minggu tersebut.

Menurutnya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu meningkat sebanyak 148.4 peratus.

Katanya, sebanyak 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot minggu sebelumnya dengan 32 daripadanya di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur dan Putrajaya (enam) manakala empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, survelan Chikungunya pula merekodkan 16 kes pada ME ke-51 dengan 10 kes di Pulau Pinang, Perak (dua), Negeri Sembilan (dua) dan satu kes masing-masing di Selangor dan Pahang, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 801 kes.

“Bagi survelan Zika, sebanyak 2,181 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes sekali gus menurunkan insiden jangkitan demam denggi.

Beliau berkata, bagi kawasan dilanda banjir, sampah, barang lusuh dan barangan dihanyutkan hendaklah dilupuskan secara berhemah selain perlu memastikan tiada air bertakung di persekitaran premis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here