Muhammad Mustakim Ramli
PENGURUSAN Sogo Kuala Lumpur mengesahkan seorang kakitangan penyewa kompleks beli-belah itu positif Covid-19, semalam.
Menerusi kenyataan di Facebook, Sogo Kuala Lumpur hari ini memaklumkan kakitangan All IT Hypermarket itu bekerja di tingkat tujuh kompleks berkenaan.
“Kakitangan itu tidak bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini mendapat rawatan di hospital.
“Dengan perkembangan terbaru ini, pihak kami telah pun mengambil langkah-langkah keselamatan awam dengan segera dalam usaha menghadkan sebarang potensi berisiko,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, langkah segera yang diambil adalah dengan menutup serta-merta semua kedai di tingkat tujuh bagi kerja sanitasi dan pembasmian kuman.
“Tingkat tujuh akan kembali dibuka esok, bagaimanapun All IT Hypermarket akan ditutup sementara waktu. Kontak rapat kakitangan itu sedang dikesan melalui daftar QR dan rakan sekerjanya sudah pun menjalani kuarantin kendiri.
“Kami akan meneruskan langkah-langkah pencegahan dan berjaga-jaga kerana keselamatan dan kesejahteraan para pekerja dan orang awam adalah keutamaan kami,” katanya.
Sogo Kuala Lumpur juga memaklumkan tingkat bawah LG hingga enam masih beroperasi seperti biasa. – Malaysiapost

