HARGA tiket penerbangan pergi balik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih murah jika lebih banyak penerbangan di waktu malam diadakan.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu diyakini memberi impak positif kepada syarikat penerbangan tempatan untuk menawarkan harga tiket lebih murah kepada pengguna terutamanya ketika musim perayaan.
Jelasnya, penerbangan malam boleh diadakan lebih banyak berikutan kebanyakan pesawat telah melalui proses
penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang agak lama selepas pandemik Covid-19 berakhir.
“Pada Mei 2022, ketika sempadan negara baru dibuka, terdapat banyak syarikat penerbangan menghadapi kesukaran untuk menambah jumlah penerbangan kerana banyak pesawat mereka terpaksa direhatkan (grounded) semasa pelaksanaan sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.
“Oleh itu, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) yang agak lama sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan orang ramai.
“Akan tetapi, pada waktu ini, lebih banyak pesawat sudah pun siap melalui proses MRO dan sudah tentu syarikat penerbangan mampu melakukan penerbangan pada waktu tengah malam dengan kadar tambang yang lebih rendah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini
Ka Siong turut menjelaskan, pelbagai usaha telah dilakukan Kementerian Pengangkutan (MOT) ketika beliau menjadi menteri bagi mengatasi masalah harga penerbangan yang naik mendadak terutama ketika musim perayaan.
“Kadar tambang penerbangan pergi balik dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan sering menjadi isu hangat yang dibincangkan di kalangan rakyat.
“Beberapa bulan lalu, pihak MAVCOM dan CAAM pernah bertemu dan berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia untuk menambah penerbangan pada waktu tengah malam dan MAHB disarankan melanjutkan pengoperasian. Perkara ini telah pun dipersetujui secara dasarnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ka Siong yakin dengan memperbanyakkan jumlah penerbangan, harga tiket penerbangan dapat dikawal dan tidak akan naik mendadak sehingga membebankan pengguna.
“Tak lama lagi kita akan menyambut Tahun Baru Cina dan selepas itu, Hari Raya Aidil Fitri. Kita mengharapkan agar pihak MAS, Air Asia, Batik Air dan sebuah syarikat penerbangan tempatan yang baharu, MyAirline, yang mula beroperasi pada awal Disember 2022 ini (jika mampu), dapat merealisasikan cadangan tersebut serta menawarkan kadar tambang murah kepada para penumpang semasa musim perayaan.
“Menambah kapasiti dan jumlah penerbangan pada waktu puncak merupakan langkah berkesan bagi mengatasi kesesakan dan berupaya mengurangkan kadar tambang.
“Sudah pasti langkah ini dinanti-nantikan oleh rakyat khususnya pengguna pengangkutan udara yang ingin pulang ke kampung halaman meraikan hari gembira bersama keluarga dan insan tersayang.
“Saya penuh yakin ini dapat dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan adanya Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) baharu. Seperti yang pernah saya katakan semasa perasmian KLATCC pada 1 Disember 2021 lalu, KLATCC baharu ini berupaya meningkatkan pergerakan pesawat di KLIA dan KLIA2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan secara serentak berbanding hanya 84 pergerakan sejam menggunakan dua landasan sebelum ini,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, MOT di bawah menteri baharu, Anthony Loke Siew Fook akan berusaha untuk mengatasi isu ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya yakin perkara ini turut akan diusahakan oleh MOT di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Semoga syarikat-syarikat penerbangan dapat menawarkan penerbangan tambahan pada waktu tengah malam dengan harga yang rendah khususnya pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi,” katanya. – Malaysiapost

