Saifuddin, SU Politik PM bincang usaha perkukuh kerajaan perpaduan

0
1

SETIAUSAHA Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru-baru ini melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perkara itu dikongsi Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menerusi hantaran di Facebooknya, antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Saifuddin, Shamsul Iskandar adalah sahabat baiknya kerana bersama-sama melalui zaman Pemuda PKR dan barisan hadapan kepimpinan Parti.

“Baru-baru ini beliau hadir ke pejabat untuk turut sama memberi buah fikiran dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kini beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri. Suatu peranan dan tanggungjawab yang cukup penting.

Saya doakan Sam mampu galas amanah ini sebaiknya. Tahniah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, selamat maju jaya,” tulis Saifuddin.

Baru-baru ini, Shamsul Iskandar yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, antara tiga individu dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Anwar yang memuat naik hantaran mengenainya melalui media sosial, berkata upacara angkat sumpah itu didahului oleh Shamsul Iskandar, yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Shamsul Iskandar tewas kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan hanya 348 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here