Kanak-kanak maut didera rakan kakak

0
2
POLIS

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai selepas didera lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang Jumaat.

“Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun.

“Mereka ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurut Kamarul Zaman, mangsa sebelum ini dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah dan kemudian diserahkan kepada rakannya untuk dijaga.

Beliau berkata, hasil siasatan polis merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa di sebuah rumah di Senggarang.

Menurutnya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak Jumaat disahkan meninggal dunia pada jam 6.40 petang semalam.

“Pada awalnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

“Bagaimanapun, pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek direman seminggu bermula Ahad sehingga 31 Disember ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here