KJ umum sertai Umno Bahagian Sungai Buloh

0
2

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau kini sudah menjadi ahli Umno bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama, Sungai Buloh baru-baru ini.

Katanya, keputusan berpindah itu diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menjadikan kawasan itu sebagai kubu buat Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain,” katanya dalam sebuah video di TikTok BN Sungai Buloh.

Khairy yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau memberitahu keputusan untuk berhijrah di bahagian tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu dahulu dengan Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin bahagian lain termasuk Datuk Harison Hassan.

“Soal pemilihan nanti kita bincang adik-beradik macam mana nak buat. Yang penting seperti mana saya sebut tadi, saya datang bukan hanya nak bertanding dan kalah terus hilangkan diri. Tidak, saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” ujarnya.

Pada PRU15, Khairy yang memperoleh 48,250 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh tewas dengan perbezaan majoriti tipis hanya 2,693 undi di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan (PKR) yang meraih 50,943.

Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen Rembau itu meninggalkan kerusi disandangnya selama tiga penggal bermula pada tahun 2008 bagi bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here