DUA individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks beli-belah di Asia City, di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun yang cedera ringan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 10.56 pagi.
“Laporan terdapat sebuah kereta Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.
“Dua mangsa terbabit keluar sendiri dari kereta berkenaan dan cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada jam 11.59 pagi. – Malaysiapost

