PM selesai tempoh kuarantin kendiri semalam

0
3

TAN Sri Muhyiddin Yassin selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri semalam selepas dua kali disahkan negatif Covid-19.

Perdana Menteri sebelum ini dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan KKM telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 bagi sampel kedua ke atas Perdana Menteri pada 14 Oktober dan disahkan negatif kelmarin.

“Sehubungan itu, Pejabat YAB Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa kedua-dua ujian pengesanan Covid-19 bagi YAB Perdana Menteri sepanjang tempoh kuarantin kendiri telah disahkan negatif dan tempoh kuarantin kendiri beliau tamat pada 16 Oktober 2020.

“Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri terus komited mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 secara sidang video pagi tadi,” katanya.

Walaupun tempoh kuarantin kendiri telah tamat, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat khas MKN masih dijalankan melalui sidang video sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi situasi semasa Covid-19 dalam negara.

Mesyuarat khas MKN berlangsung setiap hari bermula 7 Oktober lalu. – Malaysiapost