Tentera Darat tahan 26 PATI cuba menyusup keluar dari Johor

0
2

TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Kota Tinggi, Johor, dipercayai menunggu bot untuk pulang secara haram ke negara asal.

Kesemua PATI tersebut ditahan di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) pada jam 5 pagi semalam.

TDM menerusi kenyataan berkata bertindak atas maklumat risikan, pasukan mula melaksanakan intipan selama dua hari di sekitar kawasan hutan Tanjung Lompat, Desaru, Kota Tinggi yang dipercayai menjadi lokasi PATI berkumpul.

Menurutnya, pada jam 4.15 pagi, pasukan telah mengatur gerak empat Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk melaksanakan tinjauan rapat sebelum mengesan lokasi PATI berkumpul.

“Tim QRF seterusnya mengepung lokasi PATI dan melaksanakan serbuan lalu menangkap 26 PATI warga Indonesia terdiri 17 lelaki dan sembilan wanita berusia 20 hingga 49 tahun. 

“Kesemua PATI dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan yang tidak sah.

“Mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserah kepada Jabatan Imigresen. Laporan Polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” kata kenyataan itu.

TDM berkata, nilai rampasan dianggarkan RM48,977.18 melibatkan wang tunai RM20,005.25 dan matawang Indonesia IDR21,797,040 Rupiah (RM6,168.44) serta 34 telefon bimbit, 23 jam tangan pelbagai jenama dan beberapa barang kemas.

Menurutnya, Tim QRF diatur gerak bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di kawasan sekitar tangkapan tersebut. – Malaysiapost