KETUA kampung antara lima lelaki ditahan kerana memiliki 9.5 liter air ketum di sebuah pondok wakaf dan rumah di Felda Bukit Batu, Air Bemban di Kulai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata semua suspek berusia 25 hingga 52 tahun termasuk seorang warga Myanmar ditahan dalam serbuan jam 10.30 malam itu.
“Berdasarkan maklumat orang awam, polis menahan lima lelaki, termasuk ketua kampung yang berusia 52 tahun kerana memiliki air ketum.
“Ketika serbuan, ketua kampung tersebut sedang minum air itu bersama tiga rakan di pondok manakala warga asing terbabit ditahan di sebuah rumah berhampiran.
“Pemeriksaan mendapati sembilan paket lutsinar berisi air ketum dengan kandungan satu liter setiap paket serta satu botol minuman Coke berisi 0.5 liter air ketum,” katanya menerusi kenyataan.
Beng Yeow berkata, semua suspek serta barang rampasan dikenakan tahanan reman bermula sehingga 18 Oktober.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan maksimum empat tahun penjara serta denda tidak lebih RM10,000. – Malaysiapost

