MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli digesa memberi jawapan lebih rasional berhubung langkah Kerajaan dalam usaha menangani isu harga barang dan bukannya sekadar memberi nasihat supaya pengguna menjauhi kedai yang menjual harga mahal.
Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata rakyat memerlukan jawapan lebih rasional dengan menyatakan langkah bersepadu pihak kerajaan menangani gangguan dan ketidakseimbangan bekalan dalam pasaran.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyatakan pendirian dan tindakan terhadap isu monopoli, kartel dalam pasaran yang tidak dijelaskan oleh Rafizi dalam sidang media semalam.

“Terima kasih Rafizi, beri nasihat kepada pengguna untuk memilih kedai yang murah berbanding kedai yang mahal. Dengan harapan, peniaga yang jual mahal akan menurunkan harga apabila permintaan berkurang, maka inflasi akan turut berkurang.
“Itu sifir mudah, konsep permintaan dan penawaran dalam sebuah pasaran yang rasional. Namun YB Rafizi pasti tahu pasaran hari ini tidak rasional, banyak gangguan, banyak kejutan, banyak ketidakseimbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahir berkata, sepatutnya Rafizi menjelaskan tindakan kerajaan terhadap isu pembekal yang menyorokkan stok bekalan.
Katanya, kerajaan juga perlu menerangkan langkah awal menangani kekurangan bekalan ayam, telur, tepung, gula dan minyak masak yang menghimpit rakyat akibat permintaan yang mendadak di musim perayaan
“Jawapan kepada semua soalan ini adalah kunci untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup yang membelenggu rakyat, dan inilah solusi bagi menangani gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran yang serba tidak rasional hari ini,” katanya.
Semalam, Rafizi dilaporkan berkata pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, seandainya pengguna tidak membeli produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Ujarnya, ketika ini biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar pada harga yang ditawarkan oleh pembekal. – Malaysiapost

