TAN Sri Halim Saad mengumumkan syarikat minyak dan gas (O&G) Caspi Oil Gas LLP yang berpangkalan di Kazakhstan telah mengadakan perjanjian penggabungan dengan beberapa syarikat yang membolehkannya tersenarai di Nasdaq.
Caspi adalah syarikat dimiliki oleh Halim melalui syarikat pelaburan khas Markmore Energy (Labuan) Limited (Markmore).
Markmore telah menandatangani perjanjian penggabungan perniagaan dengan Liberty Onshore Energy BV (PubCo), Liberty Onshore Resources BV (HoldCo)dan LIBY Merger Sub LLC (Merger Sub)dan syarikat tujuan khas pengambilalihan , Liberty Resources Acquisition Corp (Liberty)berkuat kuasa 15 Disember 2022.
Pemeteraian perjanjian itu menjadikan Liberty sebagai anak syarikat milik penuh PubCo.
Penstrukturan semula yang kompleks itu juga membolehlah PubCo meneruskan penyenaraian di Nasdaq di bawah simbol LIBY.
Pengarah Markmore, Abu Talib Abdul Rahman, berkata Caspi teruja dengan prospek Gabungan Perniagaan dan pecutan rancangan dan strategi kumpulan berjaya memberikan hasil positif.
Beliau yang juga ahli lembaga penyeliaan Caspi berkata, pihaknya mempunyai keistimewaan untuk mendapat sokongan daripada pelabur peringkat atasan, dan akses prospektif kepada pasaran modal Amerika Syarikat (AS) berikutan penutupan urus niaga yang dicadangkan ini.
Ini katanya akan menjadikan Caspi mempunyai modal yang baik untuk mengeksploitasi aset sumber asli yang besar.
“Kami gembira dengan sokongan semua terutamanya kerajaan Kazakhstan, dengan persekitaran undang-undang dan cukai yang menggalakkan.
“Mengambil kesempatan daripada pengalaman perintis utama Caspi, model perniagaan semasa kami adalah untuk mengeksploitasi peningkatan keupayaan kewangan syarikat gabungan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan membangunkan kemudahan pemprosesan gas.
“Ini akan membolehkan pengeluaran dan penggunaan optimum pengeluaran minyak, ‘condensate’ dan gas yang berkaitan. Proses menggabungkan pengeluaran minyak primer dan pemprosesan gas dapat mengelakkan keperluan kelulusan pembakaran dan aktiviti pembakaran yang membazir,” katanya dipetik BH, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liberty, Datuk Maznah Abdul Jalil, berkata kombinasi perniagaan dengan Caspi membolehkan pihaknya berkongsi aset aliran tunai awal yang menarik dengan ramalan pengeluaran dan aliran tunai yang semakin meningkat.
“Kami menjangkakan ini boleh menghasilkan pulangan yang sangat besar kepada pelabur kami,” katanya. -Malaysiapost

