Rafizi seru rakyat jauhi peniaga jual barang harga terlalu tinggi 

0
2

USAHA  mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak sama ada daripada kerajaan, peniaga mahu pun rakyat. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pihaknya kini giat membangunkan langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal bagi memastikan harga tidak naik dengan bekalan yang mencukupi.

Beliau menjelaskan, pada masa sama juga berpendapat wajar menggerakkan kesedaran rakyat supaya lebih tangkas bertindak balas kepada kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait permintaan dan bekalan lebih anjal.

Melalui kesedaran itu, Rafizi berkata, apabila pengguna berasakan harga dikenakan oleh peniaga dirasakan terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga lain, sewajarnya mereka menjauhi peniaga itu agar faktor permintaan yang berkurang akan menekan peniaga untuk menurunkan harga.

“Ia berikutan peniaga juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seandainya mereka tahu pengguna tidak akan membelinya.

“Sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan (supply side), saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi.

“Kementerian Ekonomi akan memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawab harga berpatutan (fair price accountability) dengan membangunkan ekosistem berasaskan data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan.

“Saya berharap ekosistem ini (yang diharap akan dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan) akan membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022, di Putrajaya, hari ini. 

Rafizi menegaskan, apa yang sepatutnya berlaku ialah pasaran dikawal oleh permintaan dan bukan penawaran namun mengakui bahawa tabiat membeli adalah kompleks.

“Justeru saya berharap negara mampu menyediakan ekosistem tabiat pembelian banyak dipengaruhi oleh penawaran harga yang berpatutan, dengan menggunakan data sedia ada yang disediakan Jabatan Perangkaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, ketika ini biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar pada harga yang ditawarkan oleh pembekal.

Tegasnya, satu kategori perbelanjaan yang paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah.

“Walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga yang lebih tinggi yang dikenakan oleh peniaga.

“Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.

“Bercakap mengenai tak cukup ayam, sewajarnya kalau harga ayam itu dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here