3 pembantu kesihatan mengaku salah terima rasuah urus jenazah

0
3

TIGA pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan pengurusan jenazah.

Menurut Bernama, Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd Nizam, Sharum dan Muhd Azhar, bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang antara RM300 hingga RM600 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.

Tiga tertuduh itu didakwa menerima wang berkenaan melalui akaun masing-masing tanpa sebarang balasan daripada lelaki terbabit yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasmi mereka, iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, manakala Azhar di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat, dekat sini dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Disember 2020.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Mohd Fikah Sanusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here