KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Ekonomi menubuhkan sekretariat tetap untuk merangka pelan tindakan menangani kos sara hidup rakyat.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penubuhan sekretariat itu telah dipersetujui kedua-dua kementerian yang bermesyuarat pada hari ini.
Menurutnya, menerusi sekretariat itu, satu pelan tindakan komprehensif akan dihasilkan merangkumi pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani isu berkenaan.
“KPDN sedar usaha untuk meningkatkan kos sara hidup ini tidak boleh bekerja bersendirian, kerana ia adalah agenda nasional.
“Jadi, kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya dapat bergerak ke depan dengan lebih efisien,” katanya hari ini.
Beliau berkata, sekretariat tersebut diketuai Ketua Setiausaha bagi kedua-dua kementerian berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya sudah merangka pelan jangka pendek dan panjang, antaranya berkaitan pertukaran data, melihat kepada kumpulan fokus dan dasar contohnya pemberian subsidi serta pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.
“Ini bagi membolehkan kita saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk KPDN dan rakyat dalam kita berusaha tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Ditanya sama ada sekretariat itu akan mengganti tugas dan fungsi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Salahuddin berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.
Beliau juga tidak memperincikan tempoh sekretariat tetap itu akan diwujudkan dan berfungsi secara rasmi. – Malaysiapost

