Dua kali TPM tinjau situasi banjir tanpa kelibat MB Terengganu

0
3

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini tiba di Kemaman, Terengganu meninjau kawasan yang terjejas akibat bencana banjir.

Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa itu adalah kali kedua tanpa diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lalu.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, berkata Ahmad Zahid meninjau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, Chukai bagi mendengar taklimat situasi terkini banjir serta menyampaikan kepada mangsa yang terlibat.

“DS Zahid kemudiannya ke Pusat Pemindahan Sementara Bukit Mentok dan kawasan Banjir Bukit Mentok bertemu mangsa banjir.

“Ini adalah kunjungan kali kedua beliau ke Terengganu selepas ke Besut Selasa lepas sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan awal bulan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Said yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu memaklumkan laporan terkini mencatatkan seramai 36,341 mangsa banjir daripada 9,769 buah keluarga yang ditempatkan di 254 PPS di lapan daerah negeri itu.

Katanya, justeru itu orang ramai diminta sentiasa terus berhati-hati dan peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa.

“Juga sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti dikongsikan bagi mencegah penyakit-penyakit yang sering terjadi semasa musim banjir.

“Sama-sama doakan bencana banjir segera surut,” katanya.

Sebelum ini, ketiadaan Ahmad Samsuri meninjau situasi banjir di Terengganu menjadi tanda tanya ramai pihak.

Media melaporkan Menteri Besar Terengganu itu didakwa berada di Auckland, New Zealand bercuti bersama keluarga.

Beliau dijangka pulang ke Malaysia hari ini namun ketibaan Ahmad Samsuri tidak dapat dipastikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here