Siapa dapat kontrak tebatan banjir bernilai RM15 bilion? – Isham Jalil

0
2

KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan kontrak secara rundingan terus berhubung projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion.

Serentak itu, beliau mahu bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan yang dimaklumkan dalam Parlimen semalam.

Beliau turut meminta Tuan Ibrahim menyenaraikan syarikat yang menerima projek tebatan banjir secara rundingan terus itu.

“Ketika kerajaan PN sebanyak 28 daripada 39 projek tebatan banjir telah dianugerahkan secara rundingan terus.

“Jumlah ini adalah sekitar RM15 billion atau 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan tebatan banjir kementerian.

“Perkara ini dimaklumkan dalam Parlimen semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Isham, projek bernilai besar itu melibatkan banyak kerja-kerja kejuruteraan awam yang mana ramai kontraktor biasa boleh laksanakan.

“Tetapi mengapa anugerah (projek tebatan banjir) secara rundingan terus?.

“Siapa yang dapat kontrak berbillion-billion ringgit secara rundingan terus ini?,” soalnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion belum diluluskan dan tiada sebarang Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada mana-mana syarikat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, tidak timbul soal mahu membatalkan kelulusan projek berkenaan termasuk mengkaji semula peruntukan RM7 bilion yang dibangkitkan dan dikatakan melibatkan rundingan terus dengan pihak kontraktor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here