MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob meninjau keadaan benteng sungai yang terletak di Laman Warisan Seni Kampung Laut, Tumpat pagi ini.
Beliau berkata, paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja menunjukkan trend penurunan dan berada di tahap berjaga-jaga.
“Semoga cuaca bertambah baik dan penurunan aras air di kawasan-kawasan yang terjejas. InsyaAllah,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Johor dan Kelantan yang dijangka berlaku sehingga hari ini.
Setakat pagi ini, mangsa banjir di Kelantan dilaporkan seramai 30,107 orang daripada 9,189 keluarga, ditempatkan di 119 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka. – Malaysiapost

