‘Tak mahu PRU masa banjir, tapi pergi bercuti boleh’ – Shahrir

0
1

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilaporkan berada di Auckland, New Zealand ketika negeri itu dilanda banjir buruk, sejak Ahad lalu.

Menurut Shahrir, sebelum ini PAS dan sekutunya menjadi antara parti yang lantang membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam musim banjir, kerana ia akan menyusah rakyat.

Namun katanya, adalah menghairankan apabila Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS ‘boleh pula’ bercuti ketika Terengganu dilanda bencana berkenaan.

“‘Orang sana’ sentiasa suci dan bersih. Geng mereka pun begitu mengambil berat tentang banjir sampai tak mahu PRU. Tapi boleh pula cuti semasa banjir,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Semalam media melaporkan, tanda tanya ketiadaan Ahmad Samsuri di Terengganu selepas banjir melanda sejak Ahad lalu, terjawab apabila beliau disahkan berada di Auckland, New Zealand.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat yang mengesahkan perkara itu berkata, Ahmad Samsuri akan pulang esok.

Bagaimanapun, Hanafiah tidak mengetahui masa ketibaan Menteri Besar itu.

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dilapor mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.

Beliau mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland, serta mendakwa pemimpin itu berlepas ke negara berkenaan pada 11 Disember lalu.

Kali terakhir Ahmad Samsuri dilihat berada di negeri itu ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20, 11 Disember lalu.

Sehari sebelum majlis itu, beliau sempat meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Chendering dan Atas Tol di sini serta Tok Jembal di Kuala Nerus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here