MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sepatutnya menamatkan percutiannya di Auckland, New Zealand serta-merta berikutan bencana banjir yang melanda negeri itu.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, difahamkan Ahmad Samsuri akan pulang ke tanah air hari ini.
“Ada yang mengucapkan ‘Salam Aucklang’. Ada juga yang menyindir, ‘di Auckland musim summer, di Terengganu musim winter‘.
“Apakah Dr Sam tidak terasa? Sudah ada korban banjir. Bossku dulu balik segera ketika main golf dengan (Barack) Obama. Ia jemputan khas dan bertujuan diplomatik.
“Biarlah famili meneruskan cuti walaupun Perdana Menteri atau Menteri Besar memang layak berehat setelah penat mengurus negara atau negeri. Apa nak buat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dalam media sosial, netizen mempersoalkan tindakan Ahmad Samsuri bercuti ke luar negara ketika Terengganu dilanda banjir.
Mengikut laporan media, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat mengesahkan Ahmad Samsuri berada di New Zealand.
Berdasarkan maklumat dikongsi menerusi laman web https://portalbencana.nadma.gov.my/ms/ setakat jam 2 petang ini, seramai 40,453 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu iaitu mewakili 11,101 keluarga yang terjejas dengan bah itu.
Daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi mangsa dipindahkan iaitu 9,195 orang mewakili 2,452 keluarga, diikuti Besut dengan 7,864 mangsa mewakili 2,008 keluarga, sementara Hulu Terengganu pula, 6,063 mangsa mewakili 2,024 keluarga, Dungun (4,930 mewakili 1,332 keluarga) serta Setiu dengan 4,52 mangsa mewakili 1,246 keluarga.
Bagi daerah lain iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu serta Marang, mangsa dipindahkan masing-masing merekodkan angka di bawah 4,000 orang. – Malaysiapost

