KERAJAAN akan mengurangkan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM11 bilion berbanding kos asal RM85.97 bilion pada 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, walaupun terdapat permohonan penambahan dalam kos projek berkenaan berikutan keperluan untuk menambah pembiayaan bagi penjajaran, kos baharu projek itu masih rendah berbanding asal seperti dilaporkan pada 2016.
“Keputusan kita untuk meneruskan projek yang diluluskan dulu tapi tidak membawa banyak lagi perubahan kerana akan melambatkan proses pelaksanaan dan menyulitkan kerja serta rundingan sedia ada.
“Saya ucap tahniah kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya yang dapat membantu mempercepatkan proses rundingan dan dapat mengurangkan jumlah kos keseluruhan berbanding yang diluluskan pada 2016,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Kabinet bersetuju untuk memindahkah kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, hal itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, perkara sama sudah dilakukan kepada Sarawak, dan tarikh pemindahan kuasa kawal selia kepada Sabah itu akan diputuskan berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
“Hari ini untuk (bekalan) gas, kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dulu di peringkat Petronas dan Persekutuan, kini dipindahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Ini telah berlaku untuk Sarawak (sebelum ini), dan ini dipindahkan kepada Sabah. Tarikh pelaksanaan itu tunggu perkenan YDP Agong, jadi proses (Sabah) itu, kelulusan Jemaah Menteri telah diperakui hari ini,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, selepas pelaksanaan pemindahan kuasa itu, Kerajaan Sabah selepas ini boleh meneruskan sebarang rundingan mengenai bekalan gas di peringkat negeri, tanpa perlu menunggu Persekutuan.
Selain itu Anwar berkata, Jawatankuasa MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu diberi masa satu bulan dari sekarang untuk memutuskan beberapa perkara baharu.
“Soal MA63 dipengerusikan TPM Fadillah, kita beri tempoh sebulan dan insya-Allah awal Januari, genap sebulan (dari sekarang) kita akan kemukakan beberapa kemajuan yang lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan.
“Walaupun begitu, ada ada hal-hal lain tentang pindaan undang-undang, itu terpaksa ditangguhkan sehingga sidang Parlimen seterusnya,” katanya. – Malaysiapost

