Muhyiddin sahkan terima tuntutan saman Anwar

0
3

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan menerima tuntutan saman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu, berkata pernyataan tuntutan saman fitnah itu diterima daripada peguam Anwar.

“Saya telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana Datuk Seri Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilaporkan memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

Saman fitnah difailkan peguam cara SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Perdana Menteri bagi menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan daripada Muhyiddin, yang dinamakan sebagai defendan.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Muhyiddin daripada terus menyebut, menulis, menerbit atau mengedar kata-kata fitnah yang disangkal, atau kata-kata yang mempunyai kesan sama atau serupa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here