Jentera mobilasi ATM dikerah ke Terengganu

0
3

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan menghantar jentera aset mobilasinya ke kawasan bencana banjir terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah meminta kerjasama ATM untuk ke kawasan bencana banjir terutamanya dari segi bantuan logistik.

“Sejurus selepas sesi sidang Dewan Rakyat pagi tadi, saya bergegas ke Terengganu bagi melihat keadaan keadaan banjir yang semakin membimbangkan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

“Keadaan ini berlaku setelah hujan lebat berterusan dan taburan hujan seperti di Daerah Besut ini meningkat 3 kali ganda daripada taburan hujan biasa akibat luruan kedua Monsun Timur Laut.

“Di Terengganu sahaja, lebih 39,721 mangsa banjir dikenalpasti dan 318 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan sekurang-kurangnya 10,800 keluarga.

“Bagi menyelesaikan isu logistik yang melibatkan gerak kerja membantu mangsa & penghantaran barang keperluan di lokasi – saya telah meminta pihak Angkatan Tentera Malaysia melalui Menteri Pertahanan untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan yang sedang dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid yang merupakan Ketua Penyelaras Bencana Banjir ini menyeru mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk berpindah sekiranya diarahkan berkuasa.

“Saya juga sekali lagi ingin memohon seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terdedah dengan bencana banjir agar dapat mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan berpindahlah sekiranya perlu.

“Negeri Terengganu masih kategori bahaya mengikut Amaran Hujan Berterusan MET Malaysia dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku.

“Agensi-Agensi menyelamat telah diarah untuk melaksanakan pemindahan awal ke PPS berdasarkan Amaran METMalaysia bagi mengelakkan kes-kes mangsa terperangkap di rumah berikutan kesukaran petugas untuk memasuki lokasi akibat terputus hubungan, air yang deras dan sebagainya.

“Semoga urusan kita semua dipermudahkan dan keadaan banjir beransur lebih baik,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here