Bajet Mini 2023 diluluskan

0
2

BAJET Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat, hari ini.

Usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu membabitkan bajet bernilai RM107,718,676,650.

Keputusan itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar membentangkan RUU berkenaan bagi mendapatkan kebenaran sementara Parlimen supaya Kerajaan boleh berbelanja sebahagian Anggaran Perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

Menurutnya, RUU itu antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, selain projek pembangunan, pembaikan dan penyelenggaraan.

“Bagi tujuan ini, maka Kerajaan mencadangkan RUU ini supaya dibenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan, yang tidak melebihi RM107,718,676,650 yang dianggarkan mustahak, bagi perkhidmatan Kerajaan untuk tempoh enam bulan yang pertama tahun 2023.

“Namun, mengambil kira keterbatasan anggaran perbelanjaan sementara ini yang terhad kepada dasar dan komitmen sedia ada Kerajaan bagi enam bulan pertama 2023 terlebih dahulu.

“Apa yang baik akan diteruskan terutamanya inisiatif sedia ada yang memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat. Selanjutnya, perbelanjaan lain akan dikaji semula dalam penyediaan pembentangan semula Bajet 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menegaskan RUU itu perlu diluluskan segera kerana Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 oleh Kerajaan lalu tidak sempat dibahas dan diluluskan.

“Tanpa kelulusan Bajet Sementara, bermula 1 Januari 2023 nanti, Kerajaan tidak dapat berfungsi dan tidak dapat menyediakan perkhidmatan asas dan dan bantuan lain untuk kesejahteraan rakyat dan perniagaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here