Kerajaan benarkan import telur hingga 10 juta biji sehari mulai Khamis ini – PM

0
1

BAGI mengatasi kekurangan bekalan telur dalam pasaran, Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengimportan telur antara dua juta hingga 10 juta biji sehari sehingga bekalan menjadi stabil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan adalah sebagai permulaan dalam usaha kerajaan mengatasi kekurangan bekalan telur

“Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengimportan telur. Kemasukan pertama pada 15 Disember melibatkan sehingga 100,000 biji telur.

“Dan mulai 22 Disember ini, pengimportan antara dua juta hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan menjadi stabil,” katanya ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun tidak sampai sebulan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, kerajaan pimpinannya telah mula mengotakan janji-janji.

“Usaha memacu pembaharuan mula digerakkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat tercapai.

“Dalam soal isu kos sara hidup, saya telah beberapa kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan kaedah terbaik dicapai supaya rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang dan bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik dan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti restoran, bengkel kecil, kedai runcit, petani dan pekebun.

Menurutnya, berdasarkan rangka kawal selia industri elektrik, kenaikan kos bahan api sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna melalui kenaikan tarif elektrik. J

“Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya tarif bagi semua pengguna isi rumah domestik dan perniagaan PKS tidak akan dikenakan sebarang kenaikan tarif menjelang 1 Januari 2023.

“Hanya syarikat besar dikenakan kenaikan dan dengan itu, Kerajaan akan menanggung subsidi lebih RM10 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2023,” katanya.

Beliau berkata, bagi beberapa bulan mendatang, Kerajaan Perpaduan akan terus menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik dalam mendepani permasalahan kos sara hidup serta menumpukan kepada pengagihan subsidi yang lebih bersasar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here