Mangsa banjir kehabisan makanan, mohon bantuan

0
3

KELUARGA dan rakan mangsa banjir di Pantai Timur terpaksa menggunakan platform media sosial untuk mendapatkan bantuan khususnya mangsa yang terperangkap di rumah selepas paras air meningkat.

Kebanyakan mendakwa semua ahli keluarga dan kenalan mereka yang terperangkap tidak mempunyai bekalan makanan selama beberapa hari.

“Adik saya dengan orang kat sana terputus bekalan makanan dah tiga hari dah. Alasan dia kata bagi bantuan kat tempat lagi teruk. Habis tu yang diorang ni tak nak dibantu ke? Tolonglah, saya merayu,” ciap @sambawolf.

Dia turut melampirkan tangkapan layar perbualan teks dengan mangsa, kawasan yang dimaksudkan ialah Pondok Pasir Tumboh di Kelantan.

Sementara itu, pengguna Twitter @wandy1985 meminta bantuan bagi pihak rakan yang keluarganya terperangkap di Kampung Gong Kamuntong, Besut, Terengganu.

“Kawan saya pun cakap keluarga dia tidak ada bot, kat Besut, Kg Gong Kemuntong. Diorang tidak ada makanan. Kawan saya tiada twitter, saya tolonglah masukkan sini, harap membantu,” katanya.

Pemilik akaun Twitter @FarahHar0r0, yang turut berkongsi nasib keluarganya di Twitter, memberitahu bahawa mereka sudah diselamatkan.

“Keluarga saya kini okay dah. Mereka dah diselamatkan dan kini mereka sedang menunggu makanan kerana makanan basah kena air atau bekalan sudah habis di bandar (Besut, Terengganu).

“Tetapi masih ada orang yang terperangkap di Kg Kubang Depu dan Kg Jebak Puyuh,” katanya.

Banjir di Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu dilaporkan semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan mencecah puluhan ribu orang.

Difahamkan, setakat jam 4 petang tadi, seramai 35,079 mangsa banjir telah dipindahkan di kedua-dua negeri itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here