ABIM gesa bincang isu banjir dalam sidang parlimen

0
4
Parlimen Malaysia

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa isu bencana banjir dibincangkan sempena Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang bermula esok.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata selain usul undi percaya kepada Perdana Menteri, satu usul khas di bawah perlu dibentang berkenaan bencana banjir untuk dibincangkan bersama seluruh anggota Dewan Rakyat.

“ABIM merujuk kepada situasi banjir di Kelantan dan Terengganu yang semakin membimbangkan hari ini.

“Ini termasuk amaran ribut petir dan hujan lebat yang bakal melanda tujuh negeri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pasti mendesak seluruh pihak untuk bersiap siaga dalam mendepani situasi banjir besar yang bakal melanda negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan cuaca dilaporkan hujan di lima negeri mengakibatkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,385 orang daripada 1,551 keluarga, sehingga jam 4 petang tadi.

Semua mangsa kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) di 17 daerah yang terjejas di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Muhammad Faisal berkata, perbahasan tersebut mesti meliputi kesiapsiagaan jentera kerajaan mendepani banjir; penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir; dan perancangan dalam menangani impak perubahan iklim.

Katanya, dalam mendepani situasi bencana terkini, ABIM turut menggesa semua pihak mengenepikan kepentingan politik kepartian, sebaliknya bersama-sama membantu menstabilkan situasi politik semasa serta memberi fokus membantu meringankan beban rakyat.

“ABIM turut mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang berkampung di ‘ground zero’ Batang Kali untuk bertungkus lumus dalam menjayakan misi SAR (mencari dan menyelamat).

“Dalam masa sama, ABIM turut mendoakan agar seluruh keluarga mangsa tragedi Batang Kali ini diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah besar yang tidak diduga ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here