Tragedi tanah runtuh : Tiada mangsa ditemui hari ketiga operasi SAR

0
1

TIADA penemuan terbaru mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Jalan Genting Highlands-Batang Kali, setakat jam 6.30 petang tadi

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata operasi yang masuk hari ketiga hari ini bermula sejak pagi sehingga jam 6.30 petang tadi masih gagal menemui mangsa.

Katanya, polis juga sedang menyemak tujuh kenderaan yang berada di lokasi tanah runtuh terbabit.

“Kita sudah mengambil nombor pendaftaran kenderaan itu dan semakan sedang dijalankan untuk menentukan pemiliknya.

“Selain itu, daripada 24 mayat yang ditemui, sebanyak 21 mayat sudah dilakukan pengecaman oleh waris sementara satu lagi mayat dalam proses pengecaman,” katanya dalam sidang media di lokasi berkenaan, hari ini.

Suffian berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tetap diteruskan dalam keadaan hujan renyai.

Beliau turut mengesahkan operasi SAR itu terhenti selama sejam sejak bermula 4.30 petang akibat hujan lebat.

“Operasi disambung semula selepas itu dalam keadaan hujan renyai dan mungkin berlarutan awal pagi esok bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Setakat petang ini, 61 mangsa terselamat, 24 terkorban manakala sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here