TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) menyegerakan proses mengeringkan air banjir termenung di Tebok Imam Tasir, Bagan Datuk.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut turun padang meninjau keadaan banjir di Kunci Air Tebok Semani, pagi tadi.
Katanya, proses pengeringan perlu dijalankan dengan kadar segera bagi membantu penduduk kampung yang terkesan dengan masalah banjir berkenaan.
“Pagi ini saya telah diberi penerangan oleh pegawai JPS berkenan proses mengeringkan air banjir termenung di Kunci Air Tebok Semani di Tebok Imam Tasir Bagan Datuk.
“Saya telah meminta agar proses mengeringkan air banjir termenung ini dapat disegerakan, supaya ia dapat membantu penduduk kampung yang terkesan dengan masalah banjir yang berlaku setiap tahun ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, bilangan mangsa banjir di Perak meningkat jam 8 pagi tadi apabila mencatatkan 44 mangsa daripada 13 keluarga membabitkan dua daerah iaitu Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Jumlah itu bertambah berbanding jam 8 malam semalam apabila sejumlah 16 mangsa direkodkan daripada lapan keluarga membabitkan daerah Bagan Datuk.
Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, Hilir Perak adalah daerah paling terjejas dengan 28 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib.
PPS berkenaan dibuka semula jam 8 malam semalam bagi menempatkan mangsa banjir yang terdiri daripada penduduk Lorong Mesra, Kampung Batu 7 ½. – Malaysiapost

