15 mayat mangsa tanah runtuh sudah dituntut waris

0
1
Foto kredit: SELANGORKINI

SEBANYAK 15 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali- Gohtong sudah dituntut oleh waris masing-masing untuk proses pengebumian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah, berkata kesemua mayat mangsa diserahkan kepada waris selepas proses pengecaman dan bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Menurutnya kesemua mayat terdiri daripada dua lelaki dewasa, lapan wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Pada masa ini, masih ada baki sembilan lagi mayat yang masih berada di hospital untuk tujuan bedah siasat dan menunggu proses tuntutan oleh waris.

“Kita mohon waris atau rakan kepada mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini untuk pergi ke HSB bagi membuat pengecaman dan mengenal pasti identiti mayat,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini masih ada sembilan mangsa belum dapat dikenal pasti identiti, justeru mereka yang ada kehilangan ahli keluarga diminta segera tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, Suffian berkata, polis telah mengambil keterangan tiga individu termasuk seorang pengusaha Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang merupakan warga tempatan bersama dua pekerjanya.

Jelas beliau, keterangan mereka telah diambil di Balai Polis Hulu Selangor petang semalam.

Pada masa sama beliau tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), Suffian berkata operasi SAR semalam dihentikan pada jam 9 malam susulan hujan lebat sebelum disambung semula pada jam 8 pagi tadi.

“Operasi SAR dihentikan jam 9 malam tadi kerana jika diteruskan, ia boleh membahayakan nyawa petugas penyelamat sebelum disambung semula awal pagi tadi.

“Sebanyak lima komponen pasukan penyelamat kini berada di lokasi membabitkan 112 anggota dan tiga anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden berkenaan dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here